What Good for Disabled Will Be Good for Others

(Apa yang Baik untuk OKU juga Baik untuk Semua)

Saturday, July 18, 2009

Ramp Yang Terlalu Curam


Ramp yang ditunjukkan dalam gambar di atas adalah terlalu curam. Lihatlah betapa sukarnya OKU tersebut cuba menolak kerusi rodanya menaiki ramp tersebut. Pengguna kerusi roda tidak mungkin berupaya menaiki ramp tersebut. Lagipun ada juga OKU yang tangannya agak lemah. Sekiranya tidak percaya, anda boleh cuba sendiri. Kerusi roda seseorang akan berundur ke belakang apabila dia cuba menaiki ramp tersebut. OKU bersama-sama kerusi rodanya juga berkemungkinan jatuh terbalik ke belakang dan hal ini akan menyebabkannya mengalami kecederaan.

Sekiranya pengguna kerusi roda menuruni ramp tersebut, kerusi rodanya akan bergerak ke bawah dengan lalu tanpa kawalan. Hal ini akan membahayakan OKU tersebut dan mungkin juga orang lain yang berada di bawah berhampiran dengan ramp tersebut.

Selain terlalu curam, ramp tersebut juga tidak menepati spesifikasi lain. Kecerunannya adalah tidak sekata, tidak dilengkapi dengan susur tangan (railing) dan tiada bebendung jalan (curb) pada ramp.

Saturday, July 11, 2009

Halangan Menekan Butang Lif


Tong sampah biasanya diletakkan di bawah butang pemanggil (call button) lif. Namun, tong sampah yang ditempatkan di bawah butang pemanggil lif itu sebenarnya telah menghalang OKU yang berkerusi roda daripada menekan butang tersebut. OKU tidak dapat menolak kerusi rodanya sehingga berdekatan dengan butang pemanggil lif kerana adanya tong sampah. Hal ini seterusnya menyebabkan seseorang itu tidak dapat mencapai kepada butang lif dan menekannya.

Bukan saja OKU, tetapi kanak-kanak juga tidak dapat mencapai kepada butang pemanggil lif sekiranya tong sampah ditempatkan di bawah butang pemanggil lif. Oleh itu, janganlah meletakkan tong sampah di bawah butang pemanggil lif atau berdekatan dengan butang tersebut.

Saturday, July 4, 2009

Kecerunan Ramp

Sesebuah ramp haruslah mempunyai kecerunan yang landai untuk membolehkan pengguna kerusi roda menggunakannya dengan mudah dan selamat. Kecerunan ramp di luar bangunan haruslah mempunyai kecuraman yang tidak melebihi 1:16. Sekiranya terdapat ruang, binalah ramp yang lebih landai lagi untuk memudahkan OKU menggunakannya. Kecerunannya juga harus sekata di sepanjang ramp tersebut.