What Good for Disabled Will Be Good for Others

(Apa yang Baik untuk OKU juga Baik untuk Semua)

Sunday, October 4, 2009

Guiding Block

Guilding block atau tactile surface merupakan blok-blok yang dibina pada permukaan lantai mengikut susunan tertentu yang memberi panduan kepada OKU penglihatan untuk berjalan dari satu tempat ke satu tempat tertentu dengan selamatnya.

Ia patut dibina di tempat-tempat tertentu iaitu:-
  • di hadapan kawasan lalu lintas
  • di hadapan laluan masuk atau keluar
  • apabila terdapat tangga atau tangga bergerak
  • laluan menuju ke sesebuah bangunan
  • laluan dari sesebuah bangunan ke perhentian pengangkutan awam
Terdapat dua jenis guilding block iaitu blok berbentuk dot dan blok berbentuk garisan. OKU penglihatan dapat merasai dan membezakan jenis blok dengan menggunakan tongkat putih mereka dan juga dengan tapak kasut mereka.

Blok berbentuk dot memberi amaran kepada OKU penglihatan akan kemungkinan wujudnya bahaya di hadapannya seperti terdapat kawasan lalu lintas, laluan masuk/keluar, tangga atau sebarang halangan di hadapan seseorang itu. Blok berbentuk dot juga digunakan untuk menandakan terdapat pertukaran arah pada laluan yang diikuti. Apabila OKU tersebut berada atas blok tersebut, dia akan berhenti langkahnya dan meneroka sekelilingnya sebelum terus berjalan. Hal ini adalah untuk mengelak diri seseorang itu daripada menimpa kecelakaan.

Manakala blok berbentuk garisan pula memberi panduan kepada OKU penglihatan untuk berjalan dari satu tempat tertentu ke satu tempat yang lain dengan mengikuti susunan blok tersebut.

Sunday, September 20, 2009

Kepala Paip Jenis Menekan



Untuk membuka pili air ini, kita perlu menekan kepalanya yang berbentuk bulatan. Aliran air akan berhenti dengan sendirinya selepas seketika (1-2 minit). Sekiranya kita belum selesai membasuh tangan atau sesuatu, kita perlu menekan kepala paip tersebut sekali lagi. Hal ini agak menyusahkan OKU terutamanya mereka yang mengalami masalah pergerakan tangan. Selain itu, OKU berkerusi roda juga akan menghadapi kesukaran untuk mengunjurkan tangan mereka sehingga mencapai kepala paip tersebut kerana jaraknya agak jauh.

Wednesday, September 2, 2009

Kepala Paip - Yang Mana Satukah Lebih Baik?

Terdapat pelbagai jenis kepala paip. Ada yang mudah digunakan oleh semua orang termasuk OKU dan ada pula yang sukar digunakan oleh sesetengah OKU. Gambar di bawah menunjukkan 2 contoh kepala paip air. Pada pendapat anda, yang mana satukah adalah lebih mudah digunakan oleh OKU?



Jawapannya ialah jenis kepala paip yang ditunjukkan dalam gambar 2.

Untuk membuka dan menutup pili air dengan menggunakan jenis kepala paip yang ditunjukkan dalam gambar 1, kita perlu mengengam sambil memutarkan kepalanya. Hal ini mendatangkan masalah kepada sesetengah OKU khususnya mereka yang mengalami ketidakupayaan pada tangan, tangan mereka lemah, hand deforminities dan kudung tangan. OKU ini mendapati sangat sukar atau langsung tidak dapat membuka atau menutup paip jenis ini.

Untuk membuka dan menutup pili air dengan menggunakan jenis kepala paip yang ditunjukkan dalam gambar 2 pula, kita hanya perlu menolak levernya yang panjang ke kiri-kanan dengan daya yang minimum. Kita boleh menolak lever tersebut dengan jari, tangan, lengan atau siku. Lever kepala paip yang panjang juga membolehkan OKU mencapainya dengan mudah.

Dengan kepala paip jenis lever yang panjang, OKU termasuk mereka yang mengalami ketidakupayaan tangan dapat menggunakan paip dengan mudah tanpa bantuan.

Sunday, August 9, 2009

Spesifikasi Tempat Letak Kereta OKU

Seperti yang dibincangkan pada minggu lalu, tempat letak kereta OKU adalah lebih besar daripada saiz biasa. Tempat letak kereta OKU mesti berukuran sekurang-kurangnya 4800mm panjang dan 3600mm lebar, iaitu satu setengah kali ganda saiz biasa. Tempat letak kereta juga harus mempunyai permukaan yang rata.

Tempat letak kereta OKU haruslah ditempatkan berhampiran dengan pintu masuk sesebuah bangunan, lif atau pejalan kaki. Hal ini penting untuk memudahkan pergerakan OKU di samping memastikan keselamatan mereka lebih terjamin.

Sekiranya terdapat perbezaan ketinggian lantai antara tempat letak kereta dengan laluan masuk sesebuah bangunan atau pejalan kaki, step ramp haruslah disediakan. Hal ini adalah amat penting untuk memastikan OKU terutamanya pengguna kerusi roda dapat terus mengakses bangunan atau kawasan yang mereka pergi itu.

Sunday, August 2, 2009

Pentingnya Tempat Letak Kereta OKU

Tempat letak kereta yang disediakan khas bagi OKU adalah lebih besar (lebar) berbanding dengan tempat letak kereta umum. Tahukah anda akan pentingnya dan sebab tempat letak kereta OKU yang lebih lebar???

Hal ini kerana OKU perlu membuka pintu kereta sepenuhnya supaya seseorang itu dapat bergerak masuk atau keluar dari keretanya. Seseorang pengguna kerusi roda perlu membuka pintu seluas yang mungkin supaya dia dapat mengeluarkan kerusi rodanya dan beralih dari tempat duduk kereta ke kerusi roda. Begitu juga dengan sebaliknya. Selain pengguna kerusi roda, sesetengah OKU fizikal lain juga perlu membuka pintu kereta seluas yang mungkin untuk masuk atau keluar dari kereta. Contohnya, mereka yang menggunakan tongkat ketiak, mereka yang tidak boleh membengkokkan kaki dan sebagainya.

Oleh itu, OKU amat memerlukan tempat letak kereta yang lebih luas. Tanpa tempat letak kereta OKU yang lebih luas, pemandu-pemandu OKU tersebut tidak dapat keluar dari kereta. Hal ini seterusnya menyebabkan mereka tidak dapat berkunjung ke tempat yang mereka pergi atau bersiar-siar di sesuatu tempat itu.

Marilah kita semua sama-sama memastikan tempat letak kereta yang disediakan khas bagi OKU tidak disalahgunakan.

Saturday, July 18, 2009

Ramp Yang Terlalu Curam


Ramp yang ditunjukkan dalam gambar di atas adalah terlalu curam. Lihatlah betapa sukarnya OKU tersebut cuba menolak kerusi rodanya menaiki ramp tersebut. Pengguna kerusi roda tidak mungkin berupaya menaiki ramp tersebut. Lagipun ada juga OKU yang tangannya agak lemah. Sekiranya tidak percaya, anda boleh cuba sendiri. Kerusi roda seseorang akan berundur ke belakang apabila dia cuba menaiki ramp tersebut. OKU bersama-sama kerusi rodanya juga berkemungkinan jatuh terbalik ke belakang dan hal ini akan menyebabkannya mengalami kecederaan.

Sekiranya pengguna kerusi roda menuruni ramp tersebut, kerusi rodanya akan bergerak ke bawah dengan lalu tanpa kawalan. Hal ini akan membahayakan OKU tersebut dan mungkin juga orang lain yang berada di bawah berhampiran dengan ramp tersebut.

Selain terlalu curam, ramp tersebut juga tidak menepati spesifikasi lain. Kecerunannya adalah tidak sekata, tidak dilengkapi dengan susur tangan (railing) dan tiada bebendung jalan (curb) pada ramp.

Saturday, July 11, 2009

Halangan Menekan Butang Lif


Tong sampah biasanya diletakkan di bawah butang pemanggil (call button) lif. Namun, tong sampah yang ditempatkan di bawah butang pemanggil lif itu sebenarnya telah menghalang OKU yang berkerusi roda daripada menekan butang tersebut. OKU tidak dapat menolak kerusi rodanya sehingga berdekatan dengan butang pemanggil lif kerana adanya tong sampah. Hal ini seterusnya menyebabkan seseorang itu tidak dapat mencapai kepada butang lif dan menekannya.

Bukan saja OKU, tetapi kanak-kanak juga tidak dapat mencapai kepada butang pemanggil lif sekiranya tong sampah ditempatkan di bawah butang pemanggil lif. Oleh itu, janganlah meletakkan tong sampah di bawah butang pemanggil lif atau berdekatan dengan butang tersebut.