What Good for Disabled Will Be Good for Others

(Apa yang Baik untuk OKU juga Baik untuk Semua)

Sunday, August 9, 2009

Spesifikasi Tempat Letak Kereta OKU

Seperti yang dibincangkan pada minggu lalu, tempat letak kereta OKU adalah lebih besar daripada saiz biasa. Tempat letak kereta OKU mesti berukuran sekurang-kurangnya 4800mm panjang dan 3600mm lebar, iaitu satu setengah kali ganda saiz biasa. Tempat letak kereta juga harus mempunyai permukaan yang rata.

Tempat letak kereta OKU haruslah ditempatkan berhampiran dengan pintu masuk sesebuah bangunan, lif atau pejalan kaki. Hal ini penting untuk memudahkan pergerakan OKU di samping memastikan keselamatan mereka lebih terjamin.

Sekiranya terdapat perbezaan ketinggian lantai antara tempat letak kereta dengan laluan masuk sesebuah bangunan atau pejalan kaki, step ramp haruslah disediakan. Hal ini adalah amat penting untuk memastikan OKU terutamanya pengguna kerusi roda dapat terus mengakses bangunan atau kawasan yang mereka pergi itu.

Sunday, August 2, 2009

Pentingnya Tempat Letak Kereta OKU

Tempat letak kereta yang disediakan khas bagi OKU adalah lebih besar (lebar) berbanding dengan tempat letak kereta umum. Tahukah anda akan pentingnya dan sebab tempat letak kereta OKU yang lebih lebar???

Hal ini kerana OKU perlu membuka pintu kereta sepenuhnya supaya seseorang itu dapat bergerak masuk atau keluar dari keretanya. Seseorang pengguna kerusi roda perlu membuka pintu seluas yang mungkin supaya dia dapat mengeluarkan kerusi rodanya dan beralih dari tempat duduk kereta ke kerusi roda. Begitu juga dengan sebaliknya. Selain pengguna kerusi roda, sesetengah OKU fizikal lain juga perlu membuka pintu kereta seluas yang mungkin untuk masuk atau keluar dari kereta. Contohnya, mereka yang menggunakan tongkat ketiak, mereka yang tidak boleh membengkokkan kaki dan sebagainya.

Oleh itu, OKU amat memerlukan tempat letak kereta yang lebih luas. Tanpa tempat letak kereta OKU yang lebih luas, pemandu-pemandu OKU tersebut tidak dapat keluar dari kereta. Hal ini seterusnya menyebabkan mereka tidak dapat berkunjung ke tempat yang mereka pergi atau bersiar-siar di sesuatu tempat itu.

Marilah kita semua sama-sama memastikan tempat letak kereta yang disediakan khas bagi OKU tidak disalahgunakan.