What Good for Disabled Will Be Good for Others

(Apa yang Baik untuk OKU juga Baik untuk Semua)

Showing posts with label Change Level. Show all posts
Showing posts with label Change Level. Show all posts

Sunday, December 27, 2009

Warna Kontras Pada Tangga

Pernahkah anda (hampir) terjatuh pada tangga kerana tidak menyedari akan kewujudannya??? Adalah biasa kita melakukan sesuatu seperti berbual dengan orang yang bersama kita dan memerhatikan sekeliling ketika sedang berjalan. Kita mungkin kurang memberi tumpuan pada lantai. Apatah lagi. tiada sebarang perbezaan warna yang ketara untuk menunjukkan perbezaan ketinggian lantai (wujudnya tangga). Hal ini semua mungkin menyebabkan kita tidak sedar akan kewujudan tangga lalu (hampir) terjatuh.

Pengalaman (hampir) terjatuh pada tangga ini sudah tentu biasa dialami oleh OKU penglihatan yang mempunyai penglihatan yang terhad. Oleh itu, kita harus melakukan sesuatu untuk mengelakkan kejadian seumpama ini berlaku pada kita terutamanya OKU penglihatan.

Apakah penyelesaian yang mungkin kita boleh ambil demi keselamatan kita semua? Penyelesaiannya adalah mudah sahaja. Kita hanya perlu menggunakan warna yang kontras pada lantai tangga dengan lantai yang mempunyai ketinggian yang sama.


Sekiranya lantai yang telah siap dibina itu mempunyai warna yang sama pada keseluruhannya, kita masih boleh menambahbaikkan akses tersebut dengan mudah. Kita boleh melekatkan satu jalur yang mempunyai warna yang kontras dengan warna tangga tersebut, merentasi setiap anak tangga seperti yang ditunjukkan dalam gambar di atas. Dengan ini, mereka yang mempunyai masalah penglihatan dan juga orang ramai akan lebih mudah menyedari akan kewujudan tangga dan seterusnya dapat mengelakkan diri kita daripada terjatuh.

Saturday, July 18, 2009

Ramp Yang Terlalu Curam


Ramp yang ditunjukkan dalam gambar di atas adalah terlalu curam. Lihatlah betapa sukarnya OKU tersebut cuba menolak kerusi rodanya menaiki ramp tersebut. Pengguna kerusi roda tidak mungkin berupaya menaiki ramp tersebut. Lagipun ada juga OKU yang tangannya agak lemah. Sekiranya tidak percaya, anda boleh cuba sendiri. Kerusi roda seseorang akan berundur ke belakang apabila dia cuba menaiki ramp tersebut. OKU bersama-sama kerusi rodanya juga berkemungkinan jatuh terbalik ke belakang dan hal ini akan menyebabkannya mengalami kecederaan.

Sekiranya pengguna kerusi roda menuruni ramp tersebut, kerusi rodanya akan bergerak ke bawah dengan lalu tanpa kawalan. Hal ini akan membahayakan OKU tersebut dan mungkin juga orang lain yang berada di bawah berhampiran dengan ramp tersebut.

Selain terlalu curam, ramp tersebut juga tidak menepati spesifikasi lain. Kecerunannya adalah tidak sekata, tidak dilengkapi dengan susur tangan (railing) dan tiada bebendung jalan (curb) pada ramp.

Saturday, June 27, 2009

Laluan Masuk Yang Baik

Kami faham akan tujuan bollard dibina di hadapan ramp. Bollard dibina untuk mengelakkan motosikal daripada ditunggang ke atas pejalan kaki atau masuk ke dalam sesebuah bangunan. Namun, bollard yang dibina biasanya telah menghalang OKU daripada menggunakan ramp yang disediakan.

Di sini kami memberi cadangan untuk menyelesaikan masalah ini demi kebaikan semua pihak.



Berdasarkan video ini, 3 bollard yang berbentuk 'п' dibina secara selari dengan jarak antara bollard yang betul. Dengan ini, OKU berkerusi roda dapat bergerak masuk ke atas ramp dan kemudiannya bergerak di antara bollard tersebut untuk masuk ke dalam bangunan. Sebaliknya motosikal tidak dapat berbuat demikian.

Saturday, June 13, 2009

Halangan Menggunakan Step Ramp (2)


Gambar di atas menunjukkan satu lagi contoh ramp yang tidak dapat digunakan oleh OKU. OKU tidak dapat masuk ke dalam bangunan kerana laluan ramp yang disediakan itu telah dihalang oleh bollard.

Ramp sememangnya amat penting bagi OKU. Namun, apa gunanya ada ramp jika laluannya dihalang oleh sesuatu??? Ia seolah-olahnya memberi sesuatu kepada OKU supaya dapat bergerak dengan mudah, tetapi kemudiannya mencabutnya balik daripada kami yang OKU. Sungguhpun hak untuk bergerak bebas ini dinikmati oleh orang lain dengan sewenang-wenangnya.

Friday, May 29, 2009

Halangan Menggunakan Step Ramp (1)

Ramp merupakan satu-satunya cara bagi OKU yang berkerusi roda untuk bergerak sendiri pada tempat yang mempunyai perbezaan aras ketinggian lantai. Namun, hanya sesetengah tempat saja yang telah menyediakan ramp. Apa yang lebih menyedihkan lagi ialah ada antara ramp yang disediakan itu tidak dapat digunakan kerana ia tidak menepati spesifikasi seperti terlalu curam atau laluan dihalang oleh sesuatu.


Ramp yang ditunjukkan dalam gambar ini tidak dapat digunakan oleh OKU. Kenapa? Hal ini kerana laluan ramp tersebut telah dihalang oleh bollard. Bollard ini mungkin dibina untuk menghalang penunggang motosikal daripada menunggang motosikal mereka di atas pejalan kaki. Malangnya bollard yang dibina ini telah menyebabkan OKU berkerusi roda tidak dapat menggunakan ramp tersebut. Hal ini kerana ruang di antara bollard adalah sangat sempit dan kerusi roda tidak dapat melaluinya.

Thursday, May 28, 2009

Pentingnya Ramp

Perbezaan aras ketinggian lantai wujud di mana-mana saja seperti di antara jalan raya dengan pejalan kaki, laluan masuk ke bangunan dan pelbagai bahagian di dalam mahupun di luar sesuatu bangunan. Saiz perbezaan aras ketinggian lantai boleh jadi sekecil beberapa sentimeter atau satu langkah hingga sebesar beberapa langkah di mana tangga disediakan.


Perbezaan aras ketinggian lantai tidak kira kecil atau besar akan menghalang pergerakan OKU terutamanya mereka yang berkerusi roda dan yang menggunakan rollator. Hal ini menyebabkan OKU terpaksa membahayakan diri untuk bergerak di tepi jalan daripada menggunakan pejalan kaki, tidak dapat masuk ke sesuatu bangunan dan juga tidak dapat sampai ke sesetengah bahagian baik di dalam mahupun di luar sesuatu bangunan.

Oleh itu, ramp amat penting untuk membolehkan mereka terus bergerak dengan mudah walaupun terdapat perbezaan aras ketinggian lantai. Ramp bukan saja membolehkan OKU untuk bergerak, tetapi ia juga akan memanfaatkan pengguna lain seperti orang tua, ibu bapa atau penjaga dengan anak kecil dalam pram dan mereka yang membawa troli barang.