What Good for Disabled Will Be Good for Others

(Apa yang Baik untuk OKU juga Baik untuk Semua)

Showing posts with label Ramp. Show all posts
Showing posts with label Ramp. Show all posts

Sunday, December 6, 2009

Pilihan Untuk Mengakses

Bagi memastikan semua orang dapat mengakses sesuatu tempat yang disediakan dengan mudah, orang ramai haruslah disediakan pilihan akan cara-cara untuk melalui tempat-tempat tertentu. Dengan adanya pilihan, kita dapat memilih cara yang sesuai dengan berdasarkan kesukaan dan keupayaan masing-masing.


Gambar ini menunjukkan kita diberi 2 pilihan untuk bergerak dari satu tempat ke satu tempat yang mempunyai perbezaan ketinggian lantai. Kita boleh memilih sama ada ingin menggunakan tangga atau ramp dengan berdasarkan kesukaan dan keupayaan kita. Bagi orang yang tidak dapat menggunakan tangga seperti OKU berkerusi roda, mereka boleh menggunakan ramp. Begitu juga dengan ibu bapa atau penjaga yang menyorong anak kecil mereka dan juga pengguna yang membawa troli. Manakala orang lain boleh menggunakan salah satu laluan mengikut kesesuaian masing-masing. Dengan ini semua orang dapat meneruskan pergerakan mereka tanpa halangan walaupun terdapat perbezaan ketinggian lantai.

Saturday, July 18, 2009

Ramp Yang Terlalu Curam


Ramp yang ditunjukkan dalam gambar di atas adalah terlalu curam. Lihatlah betapa sukarnya OKU tersebut cuba menolak kerusi rodanya menaiki ramp tersebut. Pengguna kerusi roda tidak mungkin berupaya menaiki ramp tersebut. Lagipun ada juga OKU yang tangannya agak lemah. Sekiranya tidak percaya, anda boleh cuba sendiri. Kerusi roda seseorang akan berundur ke belakang apabila dia cuba menaiki ramp tersebut. OKU bersama-sama kerusi rodanya juga berkemungkinan jatuh terbalik ke belakang dan hal ini akan menyebabkannya mengalami kecederaan.

Sekiranya pengguna kerusi roda menuruni ramp tersebut, kerusi rodanya akan bergerak ke bawah dengan lalu tanpa kawalan. Hal ini akan membahayakan OKU tersebut dan mungkin juga orang lain yang berada di bawah berhampiran dengan ramp tersebut.

Selain terlalu curam, ramp tersebut juga tidak menepati spesifikasi lain. Kecerunannya adalah tidak sekata, tidak dilengkapi dengan susur tangan (railing) dan tiada bebendung jalan (curb) pada ramp.

Saturday, July 4, 2009

Kecerunan Ramp

Sesebuah ramp haruslah mempunyai kecerunan yang landai untuk membolehkan pengguna kerusi roda menggunakannya dengan mudah dan selamat. Kecerunan ramp di luar bangunan haruslah mempunyai kecuraman yang tidak melebihi 1:16. Sekiranya terdapat ruang, binalah ramp yang lebih landai lagi untuk memudahkan OKU menggunakannya. Kecerunannya juga harus sekata di sepanjang ramp tersebut.

Saturday, June 27, 2009

Laluan Masuk Yang Baik

Kami faham akan tujuan bollard dibina di hadapan ramp. Bollard dibina untuk mengelakkan motosikal daripada ditunggang ke atas pejalan kaki atau masuk ke dalam sesebuah bangunan. Namun, bollard yang dibina biasanya telah menghalang OKU daripada menggunakan ramp yang disediakan.

Di sini kami memberi cadangan untuk menyelesaikan masalah ini demi kebaikan semua pihak.



Berdasarkan video ini, 3 bollard yang berbentuk 'п' dibina secara selari dengan jarak antara bollard yang betul. Dengan ini, OKU berkerusi roda dapat bergerak masuk ke atas ramp dan kemudiannya bergerak di antara bollard tersebut untuk masuk ke dalam bangunan. Sebaliknya motosikal tidak dapat berbuat demikian.

Thursday, May 28, 2009

Pentingnya Ramp

Perbezaan aras ketinggian lantai wujud di mana-mana saja seperti di antara jalan raya dengan pejalan kaki, laluan masuk ke bangunan dan pelbagai bahagian di dalam mahupun di luar sesuatu bangunan. Saiz perbezaan aras ketinggian lantai boleh jadi sekecil beberapa sentimeter atau satu langkah hingga sebesar beberapa langkah di mana tangga disediakan.


Perbezaan aras ketinggian lantai tidak kira kecil atau besar akan menghalang pergerakan OKU terutamanya mereka yang berkerusi roda dan yang menggunakan rollator. Hal ini menyebabkan OKU terpaksa membahayakan diri untuk bergerak di tepi jalan daripada menggunakan pejalan kaki, tidak dapat masuk ke sesuatu bangunan dan juga tidak dapat sampai ke sesetengah bahagian baik di dalam mahupun di luar sesuatu bangunan.

Oleh itu, ramp amat penting untuk membolehkan mereka terus bergerak dengan mudah walaupun terdapat perbezaan aras ketinggian lantai. Ramp bukan saja membolehkan OKU untuk bergerak, tetapi ia juga akan memanfaatkan pengguna lain seperti orang tua, ibu bapa atau penjaga dengan anak kecil dalam pram dan mereka yang membawa troli barang.