What Good for Disabled Will Be Good for Others

(Apa yang Baik untuk OKU juga Baik untuk Semua)

Sunday, December 27, 2009

Warna Kontras Pada Tangga

Pernahkah anda (hampir) terjatuh pada tangga kerana tidak menyedari akan kewujudannya??? Adalah biasa kita melakukan sesuatu seperti berbual dengan orang yang bersama kita dan memerhatikan sekeliling ketika sedang berjalan. Kita mungkin kurang memberi tumpuan pada lantai. Apatah lagi. tiada sebarang perbezaan warna yang ketara untuk menunjukkan perbezaan ketinggian lantai (wujudnya tangga). Hal ini semua mungkin menyebabkan kita tidak sedar akan kewujudan tangga lalu (hampir) terjatuh.

Pengalaman (hampir) terjatuh pada tangga ini sudah tentu biasa dialami oleh OKU penglihatan yang mempunyai penglihatan yang terhad. Oleh itu, kita harus melakukan sesuatu untuk mengelakkan kejadian seumpama ini berlaku pada kita terutamanya OKU penglihatan.

Apakah penyelesaian yang mungkin kita boleh ambil demi keselamatan kita semua? Penyelesaiannya adalah mudah sahaja. Kita hanya perlu menggunakan warna yang kontras pada lantai tangga dengan lantai yang mempunyai ketinggian yang sama.


Sekiranya lantai yang telah siap dibina itu mempunyai warna yang sama pada keseluruhannya, kita masih boleh menambahbaikkan akses tersebut dengan mudah. Kita boleh melekatkan satu jalur yang mempunyai warna yang kontras dengan warna tangga tersebut, merentasi setiap anak tangga seperti yang ditunjukkan dalam gambar di atas. Dengan ini, mereka yang mempunyai masalah penglihatan dan juga orang ramai akan lebih mudah menyedari akan kewujudan tangga dan seterusnya dapat mengelakkan diri kita daripada terjatuh.

Sunday, December 6, 2009

Pilihan Untuk Mengakses

Bagi memastikan semua orang dapat mengakses sesuatu tempat yang disediakan dengan mudah, orang ramai haruslah disediakan pilihan akan cara-cara untuk melalui tempat-tempat tertentu. Dengan adanya pilihan, kita dapat memilih cara yang sesuai dengan berdasarkan kesukaan dan keupayaan masing-masing.


Gambar ini menunjukkan kita diberi 2 pilihan untuk bergerak dari satu tempat ke satu tempat yang mempunyai perbezaan ketinggian lantai. Kita boleh memilih sama ada ingin menggunakan tangga atau ramp dengan berdasarkan kesukaan dan keupayaan kita. Bagi orang yang tidak dapat menggunakan tangga seperti OKU berkerusi roda, mereka boleh menggunakan ramp. Begitu juga dengan ibu bapa atau penjaga yang menyorong anak kecil mereka dan juga pengguna yang membawa troli. Manakala orang lain boleh menggunakan salah satu laluan mengikut kesesuaian masing-masing. Dengan ini semua orang dapat meneruskan pergerakan mereka tanpa halangan walaupun terdapat perbezaan ketinggian lantai.

Sunday, November 29, 2009

Penggunaan Guiding Block

Gambar di bawah menunjukkan contoh-contoh penggunaan guiding block yang memberi panduan kepada OKU penglihatan untuk berjalan dari satu tempat ke satu tempat lain dengan selamatnya.

(a) blok berbentuk dot (dot-type block) yang berdekatan dengan kedua-dua hujung tangga bertujuan memberi amaran akan wujudnya perbezaan ketinggian lantai di hadapannya.

(b) Susunan guiding block yang memberi panduan untuk berjalan dari sesebuah bangunan ke tempat orang melintas dan sebaliknya.
Merujuk kepada rajah (b), seseorang OKU penglihatan akan berhenti sebentar ketika berada pada blok berbentuk dot lalu cuba menerokai sekelilingnya dengan bantuan tongkat putih untuk mencari arah yang patut diteruskannya atau menentukan sama ada wujudnya sebarang bahaya atau halangan di hadapannya seperti jalan raya. Apabila seseorang itu berada pada blok berbentuk garisan (line-type block) pula, dia akan berjalan dengan mengikut susunan blok tersebut. Dengan adanya susunan blok tersebut, seseorang OKU penglihatan dapat berjalan antara dua tempat dengan selamat.

Sunday, October 4, 2009

Guiding Block

Guilding block atau tactile surface merupakan blok-blok yang dibina pada permukaan lantai mengikut susunan tertentu yang memberi panduan kepada OKU penglihatan untuk berjalan dari satu tempat ke satu tempat tertentu dengan selamatnya.

Ia patut dibina di tempat-tempat tertentu iaitu:-
  • di hadapan kawasan lalu lintas
  • di hadapan laluan masuk atau keluar
  • apabila terdapat tangga atau tangga bergerak
  • laluan menuju ke sesebuah bangunan
  • laluan dari sesebuah bangunan ke perhentian pengangkutan awam
Terdapat dua jenis guilding block iaitu blok berbentuk dot dan blok berbentuk garisan. OKU penglihatan dapat merasai dan membezakan jenis blok dengan menggunakan tongkat putih mereka dan juga dengan tapak kasut mereka.

Blok berbentuk dot memberi amaran kepada OKU penglihatan akan kemungkinan wujudnya bahaya di hadapannya seperti terdapat kawasan lalu lintas, laluan masuk/keluar, tangga atau sebarang halangan di hadapan seseorang itu. Blok berbentuk dot juga digunakan untuk menandakan terdapat pertukaran arah pada laluan yang diikuti. Apabila OKU tersebut berada atas blok tersebut, dia akan berhenti langkahnya dan meneroka sekelilingnya sebelum terus berjalan. Hal ini adalah untuk mengelak diri seseorang itu daripada menimpa kecelakaan.

Manakala blok berbentuk garisan pula memberi panduan kepada OKU penglihatan untuk berjalan dari satu tempat tertentu ke satu tempat yang lain dengan mengikuti susunan blok tersebut.

Sunday, September 20, 2009

Kepala Paip Jenis Menekan



Untuk membuka pili air ini, kita perlu menekan kepalanya yang berbentuk bulatan. Aliran air akan berhenti dengan sendirinya selepas seketika (1-2 minit). Sekiranya kita belum selesai membasuh tangan atau sesuatu, kita perlu menekan kepala paip tersebut sekali lagi. Hal ini agak menyusahkan OKU terutamanya mereka yang mengalami masalah pergerakan tangan. Selain itu, OKU berkerusi roda juga akan menghadapi kesukaran untuk mengunjurkan tangan mereka sehingga mencapai kepala paip tersebut kerana jaraknya agak jauh.

Wednesday, September 2, 2009

Kepala Paip - Yang Mana Satukah Lebih Baik?

Terdapat pelbagai jenis kepala paip. Ada yang mudah digunakan oleh semua orang termasuk OKU dan ada pula yang sukar digunakan oleh sesetengah OKU. Gambar di bawah menunjukkan 2 contoh kepala paip air. Pada pendapat anda, yang mana satukah adalah lebih mudah digunakan oleh OKU?



Jawapannya ialah jenis kepala paip yang ditunjukkan dalam gambar 2.

Untuk membuka dan menutup pili air dengan menggunakan jenis kepala paip yang ditunjukkan dalam gambar 1, kita perlu mengengam sambil memutarkan kepalanya. Hal ini mendatangkan masalah kepada sesetengah OKU khususnya mereka yang mengalami ketidakupayaan pada tangan, tangan mereka lemah, hand deforminities dan kudung tangan. OKU ini mendapati sangat sukar atau langsung tidak dapat membuka atau menutup paip jenis ini.

Untuk membuka dan menutup pili air dengan menggunakan jenis kepala paip yang ditunjukkan dalam gambar 2 pula, kita hanya perlu menolak levernya yang panjang ke kiri-kanan dengan daya yang minimum. Kita boleh menolak lever tersebut dengan jari, tangan, lengan atau siku. Lever kepala paip yang panjang juga membolehkan OKU mencapainya dengan mudah.

Dengan kepala paip jenis lever yang panjang, OKU termasuk mereka yang mengalami ketidakupayaan tangan dapat menggunakan paip dengan mudah tanpa bantuan.

Sunday, August 9, 2009

Spesifikasi Tempat Letak Kereta OKU

Seperti yang dibincangkan pada minggu lalu, tempat letak kereta OKU adalah lebih besar daripada saiz biasa. Tempat letak kereta OKU mesti berukuran sekurang-kurangnya 4800mm panjang dan 3600mm lebar, iaitu satu setengah kali ganda saiz biasa. Tempat letak kereta juga harus mempunyai permukaan yang rata.

Tempat letak kereta OKU haruslah ditempatkan berhampiran dengan pintu masuk sesebuah bangunan, lif atau pejalan kaki. Hal ini penting untuk memudahkan pergerakan OKU di samping memastikan keselamatan mereka lebih terjamin.

Sekiranya terdapat perbezaan ketinggian lantai antara tempat letak kereta dengan laluan masuk sesebuah bangunan atau pejalan kaki, step ramp haruslah disediakan. Hal ini adalah amat penting untuk memastikan OKU terutamanya pengguna kerusi roda dapat terus mengakses bangunan atau kawasan yang mereka pergi itu.