What Good for Disabled Will Be Good for Others

(Apa yang Baik untuk OKU juga Baik untuk Semua)

Sunday, December 27, 2009

Warna Kontras Pada Tangga

Pernahkah anda (hampir) terjatuh pada tangga kerana tidak menyedari akan kewujudannya??? Adalah biasa kita melakukan sesuatu seperti berbual dengan orang yang bersama kita dan memerhatikan sekeliling ketika sedang berjalan. Kita mungkin kurang memberi tumpuan pada lantai. Apatah lagi. tiada sebarang perbezaan warna yang ketara untuk menunjukkan perbezaan ketinggian lantai (wujudnya tangga). Hal ini semua mungkin menyebabkan kita tidak sedar akan kewujudan tangga lalu (hampir) terjatuh.

Pengalaman (hampir) terjatuh pada tangga ini sudah tentu biasa dialami oleh OKU penglihatan yang mempunyai penglihatan yang terhad. Oleh itu, kita harus melakukan sesuatu untuk mengelakkan kejadian seumpama ini berlaku pada kita terutamanya OKU penglihatan.

Apakah penyelesaian yang mungkin kita boleh ambil demi keselamatan kita semua? Penyelesaiannya adalah mudah sahaja. Kita hanya perlu menggunakan warna yang kontras pada lantai tangga dengan lantai yang mempunyai ketinggian yang sama.


Sekiranya lantai yang telah siap dibina itu mempunyai warna yang sama pada keseluruhannya, kita masih boleh menambahbaikkan akses tersebut dengan mudah. Kita boleh melekatkan satu jalur yang mempunyai warna yang kontras dengan warna tangga tersebut, merentasi setiap anak tangga seperti yang ditunjukkan dalam gambar di atas. Dengan ini, mereka yang mempunyai masalah penglihatan dan juga orang ramai akan lebih mudah menyedari akan kewujudan tangga dan seterusnya dapat mengelakkan diri kita daripada terjatuh.

Sunday, December 6, 2009

Pilihan Untuk Mengakses

Bagi memastikan semua orang dapat mengakses sesuatu tempat yang disediakan dengan mudah, orang ramai haruslah disediakan pilihan akan cara-cara untuk melalui tempat-tempat tertentu. Dengan adanya pilihan, kita dapat memilih cara yang sesuai dengan berdasarkan kesukaan dan keupayaan masing-masing.


Gambar ini menunjukkan kita diberi 2 pilihan untuk bergerak dari satu tempat ke satu tempat yang mempunyai perbezaan ketinggian lantai. Kita boleh memilih sama ada ingin menggunakan tangga atau ramp dengan berdasarkan kesukaan dan keupayaan kita. Bagi orang yang tidak dapat menggunakan tangga seperti OKU berkerusi roda, mereka boleh menggunakan ramp. Begitu juga dengan ibu bapa atau penjaga yang menyorong anak kecil mereka dan juga pengguna yang membawa troli. Manakala orang lain boleh menggunakan salah satu laluan mengikut kesesuaian masing-masing. Dengan ini semua orang dapat meneruskan pergerakan mereka tanpa halangan walaupun terdapat perbezaan ketinggian lantai.

Sunday, November 29, 2009

Penggunaan Guiding Block

Gambar di bawah menunjukkan contoh-contoh penggunaan guiding block yang memberi panduan kepada OKU penglihatan untuk berjalan dari satu tempat ke satu tempat lain dengan selamatnya.

(a) blok berbentuk dot (dot-type block) yang berdekatan dengan kedua-dua hujung tangga bertujuan memberi amaran akan wujudnya perbezaan ketinggian lantai di hadapannya.

(b) Susunan guiding block yang memberi panduan untuk berjalan dari sesebuah bangunan ke tempat orang melintas dan sebaliknya.
Merujuk kepada rajah (b), seseorang OKU penglihatan akan berhenti sebentar ketika berada pada blok berbentuk dot lalu cuba menerokai sekelilingnya dengan bantuan tongkat putih untuk mencari arah yang patut diteruskannya atau menentukan sama ada wujudnya sebarang bahaya atau halangan di hadapannya seperti jalan raya. Apabila seseorang itu berada pada blok berbentuk garisan (line-type block) pula, dia akan berjalan dengan mengikut susunan blok tersebut. Dengan adanya susunan blok tersebut, seseorang OKU penglihatan dapat berjalan antara dua tempat dengan selamat.

Sunday, October 4, 2009

Guiding Block

Guilding block atau tactile surface merupakan blok-blok yang dibina pada permukaan lantai mengikut susunan tertentu yang memberi panduan kepada OKU penglihatan untuk berjalan dari satu tempat ke satu tempat tertentu dengan selamatnya.

Ia patut dibina di tempat-tempat tertentu iaitu:-
  • di hadapan kawasan lalu lintas
  • di hadapan laluan masuk atau keluar
  • apabila terdapat tangga atau tangga bergerak
  • laluan menuju ke sesebuah bangunan
  • laluan dari sesebuah bangunan ke perhentian pengangkutan awam
Terdapat dua jenis guilding block iaitu blok berbentuk dot dan blok berbentuk garisan. OKU penglihatan dapat merasai dan membezakan jenis blok dengan menggunakan tongkat putih mereka dan juga dengan tapak kasut mereka.

Blok berbentuk dot memberi amaran kepada OKU penglihatan akan kemungkinan wujudnya bahaya di hadapannya seperti terdapat kawasan lalu lintas, laluan masuk/keluar, tangga atau sebarang halangan di hadapan seseorang itu. Blok berbentuk dot juga digunakan untuk menandakan terdapat pertukaran arah pada laluan yang diikuti. Apabila OKU tersebut berada atas blok tersebut, dia akan berhenti langkahnya dan meneroka sekelilingnya sebelum terus berjalan. Hal ini adalah untuk mengelak diri seseorang itu daripada menimpa kecelakaan.

Manakala blok berbentuk garisan pula memberi panduan kepada OKU penglihatan untuk berjalan dari satu tempat tertentu ke satu tempat yang lain dengan mengikuti susunan blok tersebut.

Sunday, September 20, 2009

Kepala Paip Jenis Menekan



Untuk membuka pili air ini, kita perlu menekan kepalanya yang berbentuk bulatan. Aliran air akan berhenti dengan sendirinya selepas seketika (1-2 minit). Sekiranya kita belum selesai membasuh tangan atau sesuatu, kita perlu menekan kepala paip tersebut sekali lagi. Hal ini agak menyusahkan OKU terutamanya mereka yang mengalami masalah pergerakan tangan. Selain itu, OKU berkerusi roda juga akan menghadapi kesukaran untuk mengunjurkan tangan mereka sehingga mencapai kepala paip tersebut kerana jaraknya agak jauh.

Wednesday, September 2, 2009

Kepala Paip - Yang Mana Satukah Lebih Baik?

Terdapat pelbagai jenis kepala paip. Ada yang mudah digunakan oleh semua orang termasuk OKU dan ada pula yang sukar digunakan oleh sesetengah OKU. Gambar di bawah menunjukkan 2 contoh kepala paip air. Pada pendapat anda, yang mana satukah adalah lebih mudah digunakan oleh OKU?



Jawapannya ialah jenis kepala paip yang ditunjukkan dalam gambar 2.

Untuk membuka dan menutup pili air dengan menggunakan jenis kepala paip yang ditunjukkan dalam gambar 1, kita perlu mengengam sambil memutarkan kepalanya. Hal ini mendatangkan masalah kepada sesetengah OKU khususnya mereka yang mengalami ketidakupayaan pada tangan, tangan mereka lemah, hand deforminities dan kudung tangan. OKU ini mendapati sangat sukar atau langsung tidak dapat membuka atau menutup paip jenis ini.

Untuk membuka dan menutup pili air dengan menggunakan jenis kepala paip yang ditunjukkan dalam gambar 2 pula, kita hanya perlu menolak levernya yang panjang ke kiri-kanan dengan daya yang minimum. Kita boleh menolak lever tersebut dengan jari, tangan, lengan atau siku. Lever kepala paip yang panjang juga membolehkan OKU mencapainya dengan mudah.

Dengan kepala paip jenis lever yang panjang, OKU termasuk mereka yang mengalami ketidakupayaan tangan dapat menggunakan paip dengan mudah tanpa bantuan.

Sunday, August 9, 2009

Spesifikasi Tempat Letak Kereta OKU

Seperti yang dibincangkan pada minggu lalu, tempat letak kereta OKU adalah lebih besar daripada saiz biasa. Tempat letak kereta OKU mesti berukuran sekurang-kurangnya 4800mm panjang dan 3600mm lebar, iaitu satu setengah kali ganda saiz biasa. Tempat letak kereta juga harus mempunyai permukaan yang rata.

Tempat letak kereta OKU haruslah ditempatkan berhampiran dengan pintu masuk sesebuah bangunan, lif atau pejalan kaki. Hal ini penting untuk memudahkan pergerakan OKU di samping memastikan keselamatan mereka lebih terjamin.

Sekiranya terdapat perbezaan ketinggian lantai antara tempat letak kereta dengan laluan masuk sesebuah bangunan atau pejalan kaki, step ramp haruslah disediakan. Hal ini adalah amat penting untuk memastikan OKU terutamanya pengguna kerusi roda dapat terus mengakses bangunan atau kawasan yang mereka pergi itu.

Sunday, August 2, 2009

Pentingnya Tempat Letak Kereta OKU

Tempat letak kereta yang disediakan khas bagi OKU adalah lebih besar (lebar) berbanding dengan tempat letak kereta umum. Tahukah anda akan pentingnya dan sebab tempat letak kereta OKU yang lebih lebar???

Hal ini kerana OKU perlu membuka pintu kereta sepenuhnya supaya seseorang itu dapat bergerak masuk atau keluar dari keretanya. Seseorang pengguna kerusi roda perlu membuka pintu seluas yang mungkin supaya dia dapat mengeluarkan kerusi rodanya dan beralih dari tempat duduk kereta ke kerusi roda. Begitu juga dengan sebaliknya. Selain pengguna kerusi roda, sesetengah OKU fizikal lain juga perlu membuka pintu kereta seluas yang mungkin untuk masuk atau keluar dari kereta. Contohnya, mereka yang menggunakan tongkat ketiak, mereka yang tidak boleh membengkokkan kaki dan sebagainya.

Oleh itu, OKU amat memerlukan tempat letak kereta yang lebih luas. Tanpa tempat letak kereta OKU yang lebih luas, pemandu-pemandu OKU tersebut tidak dapat keluar dari kereta. Hal ini seterusnya menyebabkan mereka tidak dapat berkunjung ke tempat yang mereka pergi atau bersiar-siar di sesuatu tempat itu.

Marilah kita semua sama-sama memastikan tempat letak kereta yang disediakan khas bagi OKU tidak disalahgunakan.

Saturday, July 18, 2009

Ramp Yang Terlalu Curam


Ramp yang ditunjukkan dalam gambar di atas adalah terlalu curam. Lihatlah betapa sukarnya OKU tersebut cuba menolak kerusi rodanya menaiki ramp tersebut. Pengguna kerusi roda tidak mungkin berupaya menaiki ramp tersebut. Lagipun ada juga OKU yang tangannya agak lemah. Sekiranya tidak percaya, anda boleh cuba sendiri. Kerusi roda seseorang akan berundur ke belakang apabila dia cuba menaiki ramp tersebut. OKU bersama-sama kerusi rodanya juga berkemungkinan jatuh terbalik ke belakang dan hal ini akan menyebabkannya mengalami kecederaan.

Sekiranya pengguna kerusi roda menuruni ramp tersebut, kerusi rodanya akan bergerak ke bawah dengan lalu tanpa kawalan. Hal ini akan membahayakan OKU tersebut dan mungkin juga orang lain yang berada di bawah berhampiran dengan ramp tersebut.

Selain terlalu curam, ramp tersebut juga tidak menepati spesifikasi lain. Kecerunannya adalah tidak sekata, tidak dilengkapi dengan susur tangan (railing) dan tiada bebendung jalan (curb) pada ramp.

Saturday, July 11, 2009

Halangan Menekan Butang Lif


Tong sampah biasanya diletakkan di bawah butang pemanggil (call button) lif. Namun, tong sampah yang ditempatkan di bawah butang pemanggil lif itu sebenarnya telah menghalang OKU yang berkerusi roda daripada menekan butang tersebut. OKU tidak dapat menolak kerusi rodanya sehingga berdekatan dengan butang pemanggil lif kerana adanya tong sampah. Hal ini seterusnya menyebabkan seseorang itu tidak dapat mencapai kepada butang lif dan menekannya.

Bukan saja OKU, tetapi kanak-kanak juga tidak dapat mencapai kepada butang pemanggil lif sekiranya tong sampah ditempatkan di bawah butang pemanggil lif. Oleh itu, janganlah meletakkan tong sampah di bawah butang pemanggil lif atau berdekatan dengan butang tersebut.

Saturday, July 4, 2009

Kecerunan Ramp

Sesebuah ramp haruslah mempunyai kecerunan yang landai untuk membolehkan pengguna kerusi roda menggunakannya dengan mudah dan selamat. Kecerunan ramp di luar bangunan haruslah mempunyai kecuraman yang tidak melebihi 1:16. Sekiranya terdapat ruang, binalah ramp yang lebih landai lagi untuk memudahkan OKU menggunakannya. Kecerunannya juga harus sekata di sepanjang ramp tersebut.

Saturday, June 27, 2009

Laluan Masuk Yang Baik

Kami faham akan tujuan bollard dibina di hadapan ramp. Bollard dibina untuk mengelakkan motosikal daripada ditunggang ke atas pejalan kaki atau masuk ke dalam sesebuah bangunan. Namun, bollard yang dibina biasanya telah menghalang OKU daripada menggunakan ramp yang disediakan.

Di sini kami memberi cadangan untuk menyelesaikan masalah ini demi kebaikan semua pihak.



Berdasarkan video ini, 3 bollard yang berbentuk 'п' dibina secara selari dengan jarak antara bollard yang betul. Dengan ini, OKU berkerusi roda dapat bergerak masuk ke atas ramp dan kemudiannya bergerak di antara bollard tersebut untuk masuk ke dalam bangunan. Sebaliknya motosikal tidak dapat berbuat demikian.

Saturday, June 13, 2009

Halangan Menggunakan Step Ramp (2)


Gambar di atas menunjukkan satu lagi contoh ramp yang tidak dapat digunakan oleh OKU. OKU tidak dapat masuk ke dalam bangunan kerana laluan ramp yang disediakan itu telah dihalang oleh bollard.

Ramp sememangnya amat penting bagi OKU. Namun, apa gunanya ada ramp jika laluannya dihalang oleh sesuatu??? Ia seolah-olahnya memberi sesuatu kepada OKU supaya dapat bergerak dengan mudah, tetapi kemudiannya mencabutnya balik daripada kami yang OKU. Sungguhpun hak untuk bergerak bebas ini dinikmati oleh orang lain dengan sewenang-wenangnya.

Friday, May 29, 2009

Halangan Menggunakan Step Ramp (1)

Ramp merupakan satu-satunya cara bagi OKU yang berkerusi roda untuk bergerak sendiri pada tempat yang mempunyai perbezaan aras ketinggian lantai. Namun, hanya sesetengah tempat saja yang telah menyediakan ramp. Apa yang lebih menyedihkan lagi ialah ada antara ramp yang disediakan itu tidak dapat digunakan kerana ia tidak menepati spesifikasi seperti terlalu curam atau laluan dihalang oleh sesuatu.


Ramp yang ditunjukkan dalam gambar ini tidak dapat digunakan oleh OKU. Kenapa? Hal ini kerana laluan ramp tersebut telah dihalang oleh bollard. Bollard ini mungkin dibina untuk menghalang penunggang motosikal daripada menunggang motosikal mereka di atas pejalan kaki. Malangnya bollard yang dibina ini telah menyebabkan OKU berkerusi roda tidak dapat menggunakan ramp tersebut. Hal ini kerana ruang di antara bollard adalah sangat sempit dan kerusi roda tidak dapat melaluinya.

Thursday, May 28, 2009

Pentingnya Ramp

Perbezaan aras ketinggian lantai wujud di mana-mana saja seperti di antara jalan raya dengan pejalan kaki, laluan masuk ke bangunan dan pelbagai bahagian di dalam mahupun di luar sesuatu bangunan. Saiz perbezaan aras ketinggian lantai boleh jadi sekecil beberapa sentimeter atau satu langkah hingga sebesar beberapa langkah di mana tangga disediakan.


Perbezaan aras ketinggian lantai tidak kira kecil atau besar akan menghalang pergerakan OKU terutamanya mereka yang berkerusi roda dan yang menggunakan rollator. Hal ini menyebabkan OKU terpaksa membahayakan diri untuk bergerak di tepi jalan daripada menggunakan pejalan kaki, tidak dapat masuk ke sesuatu bangunan dan juga tidak dapat sampai ke sesetengah bahagian baik di dalam mahupun di luar sesuatu bangunan.

Oleh itu, ramp amat penting untuk membolehkan mereka terus bergerak dengan mudah walaupun terdapat perbezaan aras ketinggian lantai. Ramp bukan saja membolehkan OKU untuk bergerak, tetapi ia juga akan memanfaatkan pengguna lain seperti orang tua, ibu bapa atau penjaga dengan anak kecil dalam pram dan mereka yang membawa troli barang.

Monday, May 25, 2009

Halangan Peralihan Kerusi Roda (2)

Merujuk gambar di atas, terdapat kesilapan pada bar pemegang (grab bar) yang berada di sebelah kiri mangkuk tandas. Hal ini kerana bar pemegang tersebut dipasang tetap pada lantai. Hal ini menyebabkan pengguna kerusi roda yang menggunakan peralihan secara sisi dan juga yang menggunakan peralihan secara diagonal dari kerusi roda ke mangkuk tandas (cara peralihan kerusi roda) tidak dapat menggunakan tandas ini. Mereka tidak dapat menggunakan tandas ini kerana peralihan mereka dari kerusi roda ke mangkuk tandas telah dihalang oleh bar pemegang jenis tetap itu.

Apa Yang Betul?
Bar pemegang yang dipasang bersebelahan dengan mangkuk tandas (bertentangan dengan dinding) itu mestilah jenis yang boleh laras atau lipat seperti gambar di bawah, supaya golongan OKU tersebut dapat menggunakan tandas.

Sunday, May 24, 2009

Halangan Peralihan Kerusi Roda (1)


Sebenarnya pengguna kerusi roda yang menggunakan peralihan secara berhadapan dari kerusi roda ke mangkuk tandas (cara peralihan kerusi roda) dapat menggunakan tandas ini.

Namun, tong sampah yang ditempatkan di sudut tandas yang bertentangan dengan mangkuk tandas (seperti dalam gambar) telah menyebabkan golongan OKU tersebut tidak dapat menggunakan tandas itu lagi. Hal ini kerana dengan adanya tong sampah di sudut itu, ruang kosong yang tinggal adalah tidak cukup bagi OKU menempatkan kerusi rodanya di hadapan mangkuk tandas sebelum dia beralih dari kerusi roda ke mangkuk tandas.

Oleh itu, tong sampah yang disediakan dalam tandas mesti ditempatkan di tempat yang sesuai supaya tidak menghalang pergerakan kerusi roda di samping memastikan OKU dapat menggunakannya.

Saturday, May 23, 2009

Peralihan Kerusi Roda ke Mangkuk Tandas

Terdapat 3 cara bagi pengguna kerusi roda untuk beralih dari kerusi roda ke mangkuk tandas dan sebaliknya. 3 cara tersebut ialah peralihan secara diagonal, peralihan secara sisi dan peralihan secara berhadapan.

(1) Peralihan secara diagonal



(2) Peralihan secara sisi


(3) Peralihan secara berhadapan



Cara peralihan yang dipraktiskan oleh seseorang pengguna kerusi roda adalah bergantung pada keupayaan fizikalnya. Kebanyakan mereka hanya dapat menggunakan salah 1 daripada 3 cara tersebut.

Oleh itu, adalah amat penting untuk memastikan sesebuah tandas OKU dibina itu mengikuti spesikasi yang betul bagi memastikan sesebuah tandas OKU itu dapat digunakan oleh setiap pengguna kerusi roda. Spesikasi tersebut merangkumi ruang yang mencukupi, dilengkapi bar pemegang dan kedudukan/ketinggian kemudahan tandas seperti tisu tandas, basin dan tong sampah.

The Toilet Lock

The type of level which was discussed in the last 2 post is not just enable us to lock and unlock the door easily. We also can hold it to pull the door which is opened outward, to the door frame (close) easily. That means it can be used as pull-bar against the door.

Toilet Lock


I found this very good example at a hospital in Penang. (GMC)

Saturday, May 16, 2009

This Lock

I suggest that we use this type of lever which is shown in above picture. We can lock and unlock the door easily using this. We just need to press the button to lock the door and slightly press down the door lever to unlock and open the door. This lever will be good for all of the people with disabilities.

Thursday, May 14, 2009

Toilet Lock


The type of lock as shown at the above picture is being used for some of the toilets for disabled. To lock or unlock the door via this lock, user has to hold the lock with fingers and then turn it clockwise or anti-clockwise. It’s meant the action required a good fine motor skill.

The question is “Is this type of lock accessible to all disabled?”.

The answer is “NO”. Persons with poor fine motor skills e.g. cerebral palsy may find it hard or unable to manipulate the lock. Those whose hands are weak and those with hand deformity may not able to deal with the lock too. As person with cerebral palsy, I had an experience being locked inside the toilet once where I struggled to unlock the door (with this type of lock). I had several trials to unlock the door before I managed to open the door.

Therefore, do not use this type of lock for disabled toilet.